Mereka merupakan sebahagian nelayan dari seluruh kawasan di negeri ini khususnya nelayan Permatang Damar Laut yang terlibat secara langsung dengan projek tambak laut berkenaan.
Selain melaungkan slogan menolak projek itu, kumpulan nelayan berkenaan turut membawa sepanduk mengecam Kerajaan DAP Pulau Pinang antaranya bertulis ‘Nelayan Pulau Pinang tersepit kerakusan aktiviti tambak laut’.
Terdahulu, sesi dialog antara kerajaan negeri bersama hampir 500 nelayan kerajaan pagi ini berhubung projek tambak laut itu berlangsung tegang selepas majoriti nelayan melahirkan rasa tidak puas hati dan membantah projek berkenaan.
Pengerusi Nelayan Negeri Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, projek tambak laut berskala besar itu dibantah sekeras-kerasnya kerana kesan buruk yang bakal dihadapi mereka terutama secara jangka masa panjang.
“Perairan selatan negeri ini adalah nadi utama kepada nelayan seluruh negeri ini dan jika projek ini diteruskan, tiada lagi punca pendapatan untuk kami meneruskan hidup,” katanya.
Ahli Persatuan Nelayan Seberang Perai, Rosli Arifin berkata, kajian impak alam sekitar (EIA) yang dijalankan pihak berwajib berhubung kesan projek tambak laut itu tidak memberi gambaran sebenar berhubung realiti yang didepani nelayan.
Menurutnya, banyak perkara tidak disentuh menerusi kajian itu terutama mengenai ancaman terhadap pelbagai jenis hidupan marin yang bakal musnah.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Badrul Hisham Hashim berkata, projek tambak laut tersebut akan melenyapkan golongan nelayan di negeri ini buat selama-lamanya.
Malah, beliau turut mencabar Kerajaan DAP Pulau Pinang memberi geran kepada perkam­pungan nelayan yang bakal terjejas ekoran projek itu dan menggazetkannya sebagai kampung wari–san sekiranya benar-benar mahu melindungi kepentingan golongan berkenaan.
“Kami yakin kerajaan negeri tidak mampu membayar pampasan setimpal kepada golongan nelayan yang terjejas apatah lagi kami sudah berpuluh-puluh tahun mencari rezeki sebagai nelayan serta mendiami kampung ini,” katanya.
Kerajaan negeri ketika ini me–rancang menambak seluas 1,821 hektar kawasan laut di Permatang Damar Laut di sini bagi membentuk tiga pulau buatan sebelum dijual untuk menampung kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri berjumlah RM46 bilion.